
Dengan lafaz Bismillahir Rahman ar Rahim, saya memulakan bicara untuk menulis laman blog remajasijangkang ini. Terlebih dahulu baik saya perkenalkan Kelab Remaja Sijangkang kepada hadirin yang sudi membaca blog ini. Kelab ini baru sahaja ditubuhkan pada Mac 2011, apa yang sempat saya catat mesyuarat pertama diadakan pada 23 Mac bersamaan 18 Rabiul Akhir 1432H.
Idea penubuhan dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang Yb. Dr. Ahmad Yunus Hairi. Sekaligus beliau menjadi penaung kepada kelab ini. Selain itu Ustaz Ridhuan sebagai penasihat kelab, pengerusi kelab ialah saudara Shaiful Amri Shapik dan saya Mohamad Zulfadhli Idris sebagai setiusaha. Keahlian kelab adalah dibuka kepada belia berumur 13 tahun hingga 17 tahun yang tinggal di DUN Sijangkang. Pihak penganjur menyelaraskan keahlian mengikut masjid kariah dalam DUN Sijangkang, dalam DUN ini sahaja terdapat enam buah masjid kariah iaitu Masjid Jami'ul Ehsani (Batu 8 Kampung Sijangkang),Masjid Jamiatil Islamiah (Batu 9 Kebun Baru), Masjid al Hidayah (Telok Panglima Garang), Masjid Nurul Iman (Batu 10), Masjid Kampung Sungai Rampai dan Masjid Pulau Carey.
Tujuan utama penubuhan kelab ini adalah untuk membina keterikatan yang akrab antara institusi masjid dan belia remaja. Bukan remaja hari ini tidak dekat dengan masjid, bahkan ramai yang suka ke masjid untuk melaksanakan solat lima waktu dan kuliah mingguan. Tapi kita mahukan belia remaja dapat melakukan aktiviti yang mereka minati dengan institusi masjid itu sendiri. Hari ini, kita lihat aktiviti-aktiviti yang berbentuk kesenian, sukan dan kebudayaan begitu asing dengan masjid, padahal aktiviti sebginilah yang diminati oleh golongan remaja. Dalam masa yang sama, kita mahu lebih ramai remaja yang jarang ke masjid untuk lebih kerap pergi ke masjid untuk terlibat dengan aktiviti yang sedia ada seperti kuliah-kuliah ilmu dan kursus-kursus ibadah.
Begitulah sedikit sebanyak pengenalan untuk kali ini, bercakap dan merancang memang senang berbanding melaksanakannya. Merancang dan bercakap belum dikira melakukan "kerja", dalam ilmu fizik kerja = daya x jarak, iaitu kita mengubah kedudukan satu objek yang mempunyai jisim. Kita boleh ambil pengajaran dari teori fizik itu dengan terus "bekerja" yang memberi kesan berbanding hanya sekadar merancang. Kita mengharapkan Allah Subhanahu Wataala memberi kekuatan untuk menjayakan penubuhan kelab ini. Biarlah kita bermula sedikit demi sedikit tapi terus istiqamah. Amin ya rabbal alamin..